Tiga maharaja Tiga Kerajaan

Pada bulan qamari pertama tahun 220, Cao Cao meninggal dunia dan anaknya Cao Pi memaksa Maharaja Xian supaya turun takhta pada bulan kesepuluh, dan dengan itu, mengakhiri Dinasti Han. Cao Pi menamai negerinya Wei, dan menjadikan diri sebagai maharaja di Luoyang. Pada tahun 221, Liu Bei menamakan diri sebagai Maharaja Han dalam suatu percubaan untuk memulihkan Dinasti Han yang jatuh. (Negerinya dikenali dalam sejarah sebagai "Shu" atau "Shu-Han".) Pada tahun yang sama, Wei menganugerahi Sun Quan dengan gelaran "Raja dari Wu". Setahun kemudian, askar-askar Shu-Han mengisytiharkan perang ke atas Wu dan mendatangi askar-askar Wu dalam Pertempuran Yiling. Di Yiling, Liu Bei ditewaskan dengan teruk oleh Lu Xun, komander Sun Quan, dan selepas terpaksa berundur ke Shu, mangkat di sana tidak lama kemudian. Selepas kemangkatan Liu Bei, Shu dan Wu menyambung semula hubungan persahabatan mereka sehingga menjejaskan Wei dan dengan itu, menstabilkan imbangan tiga pihak. Pada tahun 222, Sun Quan menarik balik perisytiharannya terhadap rejim Cao Pi dan kemudian mengisytiharkan diri sebagai maharaja di Wuchang pada tahun 229.

Kawasan utara pada keseluruhannya dikuasai oleh Wei, manakala Shu menduduki barat daya dan Wu menduduki kawasan tengah, selatan dan timur. Sempadan luar untuk negeri-negeri itu secara amnya terhad kepada takat peradaban Cina. Umpamanya, penguasaan politik Shu di sempadan selatannya dibatasi oleh puak-puak Tai di Yunnan dan Myanmar moden yang bersama-sama dikenali oleh orang Cina sebagai Orang Gasar Selatan (南蠻).

Jumlah penduduk

Jumlah penduduk boleh disimpulkan daripada Sanguo Zhi, rekod rasmi Chen Shou. Dari segi tenaga manusia, Wei ialah negeri yang terbesar, dengan 660,000 buah keluarga dan 4,400,000 orang penduduk di dalam kawasannya. Sebagai perbandingan, Shu hanya mempunyai jumlah penduduk sebanyak 940,000 orang, manakala Wu mempunyai 2,300,000 orang. Oleh itu, Wei mempunyai melebihi 58% daripada jumlah penduduk dan sekitar 40% daripada jumlah kawasan China. Dengan sumber-sumber ini, Wei dianggarkan dapat mengerahkan seangkatan tentera sebesar 440,000 orang askar, manakala Shu dan Wu masing-masing hanya dapat mengerahkan 100,000 dan 230,000 orang askar. Oleh itu, perikatan Wu-Shu terhadap Wei terbukti merupakan suatu perikatan ketenteraan yang stabil; sempadan-sempadan asas Tiga Kerajaan dikekalkan hampir tanpa sebarang pertukaran selama melebihi empat puluh tahun.

Perdagangan dan pengangkutan

Dari segi ekonomi, pembahagian Tiga Kerajaan membayangkan suatu kenyataan yang sudah lama wujud. Juga pada zaman Song Utara, tujuh ratus tahun selepas kejatuhan Tiga Kerajaan, China masih boleh dianggap sebagai terdiri daripada tiga buah pasaran yang utama. (Status kawasan barat laut agak kabur kerana ia mempunyai hubungan dengan kawasan utara dan Sichuan). Bahagian-bahagian geografi ini ditegaskan oleh fakta bahawa semua laluan komunikasi utama antara ketiga-tiga kawasan utama adalah buatan manusia:

  1. Terusan Agung yang menghubungkait kawasan utara dengan kawasan selatan
  2. laluan air merentasi Tiga Gaung di Sungai Yangzi yang menghubungkait China selatan dengan Sichuan
  3. jalan kawasan luar bandar yang mengaitkan Sichan dengan kawasan barat laut.

Oleh itu, perpecahan China menjadi tiga buah entiti yang berasingan bukannya suatu perkara yang luar biasa dan telah juga dijangka oleh tokoh-tokoh seperti Zhuge Liang (sila lihat Rancangan Longzhong 隆中對).

Pengukuhan

Pada tahun 223, Liu Shan naik takhta Shu selepas kekalahan dan kemangkatan Liu Bei, bapanya. Kekalahan Liu Bei di Yiling mengakhiri tempoh permusuhan antara Wu dan Shu, dengan kedua-dua mereka mempergunakan peluang itu untuk menumpukan perhatian kepada masalah-masalah dalaman serta kepada Wei, musuh luar mereka.

Bagi Sun Quan, kemenangannya terhadap Shu menamatkan kebimbangannya terhadap perluasannya masuk ke provinsi Jing dan beliau dapat mengalihkan perhatiannya kepada puak-puak orang asli di tenggara yang bersama-sama dikenali sebagai kaum "Shanyue" oleh orang Cina (sila lihat Yue). Suatu rentetan kejayaan terhadap puak-puak pemberontak itu berakhir dengan kejayaannya pada tahun 234. Pada tahun itu, Zhuge Ke mengakhiri pengepungannya selama tiga tahun ke atas Danyang, dengan penyerahan 100,000 orang Shanyue. Antara bilangan ini, 40,000 orang Shanyue dikerahkan sebagai askar tambahan ke dalam angkatan tentera Wu. Pada masa yang sama, Shu juga menghadapi masalah dengan puak-puak orang asli di bahagian selatan. Puak Nanman di barat daya memberontak terhadap kuasa Han dan menawan serta menjarah kota Yizhou. Menyedari pentingnya kestabilan di selatan, Zhuge Liang memerintah kemaraan angkatan-angkatan tentera Shu dalam tiga jajaran terhadap puak Nanman. Beliau banyak kali bertempur dengan Meng Huo, ketua puak Nanman, sehingga akhirnya Meng Huo menyerah kalah. Walaupun demikian, seorang daripada puak Nanman dilantik sebagai pegawai dan tinggal di Chengdu, ibu kota Shu, dan puak Nanman dibenarkan membentuk batalion-batalion sendiri di dalam angkatan tentera Shu.

Ekspedisi Utara Zhuge Liang

Rencana utama: Ekspedisi Utara

Kempen-kempen Zhuge Liang di kawasan selatan akhirnya memberikan kejayaan kepada perikatan Wu-Shu, dan Shu kini mempunyai masa untuk bergerak ke kawasan utara. Pada tahun 227, Zhuge Liang memindahkan angkatan tentera Shu yang utama ke Hanzhong dan memulakan pertempuran dengan Wei untuk menguasai kawasan barat laut (sila lihat Ekspedisi Utara). Pada tahun berikut, beliau memerintah jeneral Zhao Yun supaya menyerang dari kawasan Gaung Ji sebagai suatu muslihat untuk mengalihkan perhatian Wei, manakala Zhuge sendiri mengetuai sebuah angkatan tentera yang utama ke Qishan. Bagaimanapun, barisan hadapan Ma Su mengalami sebuah kekalahan taktik di Jieting dan oleh itu, angkatan tentera Shu terpaksa mengundurkan diri.

Selama enam tahun berikut, Zhuge Liang mencuba lagi banyak serangan, tetapi kesulitan-kesulitan bekalan mengehadkan keupayaannya untuk mencapai kejayaan. Pada tahun 234, beliau mengetuai serangan utara terbesarnya yang terakhir, dan tiba di Dataran Pertempuran Wuzhang di sebelah selatan Sungai Wei. Walaupun demikian, angkatan tentera Shu sekali lagi terpaksa berundur, akibat kematian Zhuge Liang pada tahun itu. Sima Yi dari Wei merasakan kematian Zhuge Liang dan memulakan sebuah serangan terhadap angkatan tentera Shu yang sedang berundur. Tentera Shu membalas denga hampir segera dan dengan itu, menakutkan Sima Yi yang mengesyaki bahawa pengunduran tersebut adalah suatu muslihat. Oleh itu, beliau membenarkan pengunduran angkatan tentera Shu tanpa halangan.

Pada keseluruhannya, Zhuge Liang membuat lima percubaan di utara, dengan hanya satunya berjaya. Beliau memperoleh Jiang Wei selepas sebuah komplot pembelotan yang berjaya. Percubaan-percubaan Zhuge Liang yang lain termasuk Chencang, Gunung Qi, Jieting (kempen bekalan) dan Dataran Wuzhang. Terdapat juga beberapa percubaan lain yang kurang penting di utara yang tidak membawa kepada sebarang hakikat yang utama. Selepas kematian Zhuge Liang, pembantunya Jiang Wan mengambil alih.

Wu dan perkembangan selatan

Pada tempoh serangan-serangan Zhuge Liang di kawasan utara, negeri Wu sentiasa mendapati diri dalam kedudukan yang memerlukannya mempertahankan diri daripada serangan-serangan utara. Selepas Pertempuran Cenuram Merah, kawasan-kawasannya di sekitar Hefei sering mengalami tekanan yang tetap daripada Wei dan merupakan tempat untuk banyak pertempuran yang sengit. Perang di kawasan tersebut bertambah buruk sehingga banyak penduduknya memilih untuk berhijrah ke sebelah selatan Sungai Yangzi. Selepas kematian Zhuge Liang, serangan-serangan ke atas kawasan Huainan bertambah buruk. Walaupun demikian, Wei tidak berupaya menempuh barisan pertahanan Wu di sepanjang Sungai Yangzi, termasuk kubunya di Ruxu.

Tempoh pemerintahan Sun Quan yang panjang di negeri Wu telah dianggap sebagai suatu zaman kemakmuran untuk negeri selatannya itu. Penghirahan dari utara dan penempatan kaum Shanyue menambahkan tenaga manusianya untuk pertanian, khususnya di sepanjang hilir Sungai Yangzi serta kawasan kekomanderan Kuaiji. Pengangkutan sungai berkembang maju, dengan pembinaan terusan-terusan di Zhedong dan Jiangnan. Perdagangan dengan Shu juga berkembang maju, dengan kemasukan kapas Shu yang banyaknya serta pembangunan industri-industri tembikar seladon dan logam. Pengangkutan lautan juga diperbaik sehingga pelayaran-pelayaran dapat dibuat sehingga ke Manchuria dan pulau Taiwan. Di selatan, pedagang-pedagang Wu tiba di Linyi (Vietnam selatan) dan Fu'nan (Kemboja). Ketika ekonomi Wu menjadi makmur, demikian juga kesenian dan kebudayaannya. Di delta Yangzi, pengaruh-pengaruh Buddhisme yang awal tiba di selatan dari Luoyang (sila lihat Buddhisme di China).